Kuasa Jangkaan Positif
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Jangkaan yang diberikan oleh kita sama ada kita sedar atau tidak sangat memberi erti pada kehidupan. Ia memberi kesan kepada cara kita berfikir, cara kita bertindak dan cara kita melihat. Jangkaan yang positif menghasilkan hasilan yang sangat berlainan dengan jangkaan negatif.
Kehidupan Abu berjalan seperti biasa sahaja sehinggalah beliau bertemu dengan tukang tilik yang mengatakan bahawa Abu akan menghadapi nasib yang malang. Percaya dengan kata-kata tersebut membuatkan Abu tidak lagi berani untuk berjalan secara berseorangan. Beliau bimbang malang yang dimaksudkan itu mungkin dirompak ketika berjalan. Abu juga takut untuk memandu kereta lagi. Abu selalu berasa bimbang dan tidak dapat tidur lena. Kesannya Abu mulai sakit dan mula mempercayai bahawa apa yang dikatakan tentang dirinya adalah benar.
Berbanding dengan Amin. Amin telah diberitahu oleh tukang tilik tersebut bahawa beliau akan memperolehi tuah. Apabila mendengar kata-kata tersebut, cara hidup Amin berubah. Beliau mula rajin dan aktif. Cara layanannya terhadap orang lain turut berbeza dengan dahulu. Akhirnya, majikan yang merasai perubahan ini berasa gembira dengan perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Amin. Lalu, beliau menaikkan pangkat Amin. Amin melihat ia sebagai tuah seperti yang dikatakan oleh tukang tilik tersebut.
Berbalik kepada kedua-dua contoh di atas, perkara yang membezakan kehidupan Abu dan Amin adalah tanggapan mereka pada masa hadapan. Seorang telah diberikan masa depan yang negatif dan seorang lagi diberikan masa depan yang penuh harapan. Hasil daripada jangkaan yang dimasukkan telah memberi kesan kepada tindakan, emosi dan cara mereka berfikir. Kelakuan mereka tanpa sedar atau tidak, cuba menjadikan jangkaan yang diberikan itu menjadi realiti.
Salam motivasi dan inspirasi!
from Drinpirasi blog